BATC 2026: Skuad lelaki gagal ke separuh akhir

6 Feb 2026, 1:29 PM
BATC 2026: Skuad lelaki gagal ke separuh akhir

SHAH ALAM, 6 FEB: Skuad lelaki negara tersingkir peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 selepas tewas 0-3 kepada Jepun di Qingdao, China hari ini.

Perseorangan utama negara, Justin Hoh yang menghuni ranking ke-39 dunia, tewas kepada pemain ke-19 dunia, Yushi Tanaka dalam pertarungan sengit tiga set 17-21, 22-20, 11-21.

Harapan Malaysia untuk bangkit menerusi beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tidak kesampaian selepas mereka tewas kepada pasangan nombor sembilan dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 14-21, 12-21.

Jepun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir menerusi perseorangan kedua, Koki Watanabe yang menewaskan pemain negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin 20-22, 21-11, 21-3.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian mara ke final edisi 2024 di Shah Alam sebelum tewas 0-3 kepada China.

Keputusan berkenaan turut menyaksikan skuad negara gagal layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April depan.

Hanya empat pasukan terbaik BATC layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas.

Bagaimanapun, peluang skuad negara untuk beraksi di Piala Thomas masih belum tertutup menerusi kedudukan sebagai antara tiga pasukan terbaik dalam kalangan negara yang tidak layak melalui kejohanan benua.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619