Unisel sedia perkasakan latihan pekerjaan bersama Selgate Corporation

5 Feb 2026, 10:31 AM
Unisel sedia perkasakan latihan pekerjaan bersama Selgate Corporation

SHAH ALAM, 5 FEB: Universiti Selangor (Unisel) bersedia memperkasa latihan pekerjaan bersama Selgate Corporation bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan Unisel, Mohd Sharikh Dali Mahad berkata, cadangan berkenaan kini berada di peringkat perbincangan akhir bersama Kerajaan Negeri, dengan pelaksanaannya dijangka menggunakan modul Selangor Future Graduate Employment Programme (SELFA-GEP).

“Kita masih di peringkat akhir untuk memuktamadkan terma, mekanisme serta menunggu kelulusan bajet. Tetapi kita sudah sediakan modul pelaksanaannya iaitu dengan menggunakan modul SELFA-GEP.

“SELFA-GEP adalah pelengkap ekosistem kepada latihan dan penyediaan tenaga mahir kesihatan melalui Selangor Frontliner Apprenticeship Programme (SELFA). GEP membawa maksud 'Guaranteed Employment Programme',” katanya kepada Media Selangor.

Mohd Sharikh menambah, seramai 55 pelajar dijangka menerima manfaat daripada program berkenaan, sekali gus membolehkan mereka menyambung pengajian di peringkat diploma di Unisel.

Selain itu, katanya, pelajar terlibat bakal menerima elaun bulanan RM1,000 sepanjang tempoh pengajian, kemudahan asrama dan pengangkutan percuma, serta jaminan pekerjaan di Selgate selama lima tahun.

“Pelajar yang terlibat adalah daripada bidang kejururawatan, fisioterapi, teknologi makmal perubatan, dan pengimejan perubatan. Kita sasar untuk mulakan program ini seawalnya pada April depan,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM4.74 juta bagi program perubatan di Unisel, dengan fokus kepada latihan pekerjaan bersama Selgate.

Program ini akan dilaksanakan selama tiga tahun disertai ikatan perkhidmatan lima tahun di rangkaian Hospital Pakar Selgate, bertujuan memperkasa pendidikan tinggi serta perkhidmatan kesihatan negeri.

Selgate Corporation memulakan operasi hospital pertamanya iaitu Hospital Pakar Selgate di Rawang pada Oktober tahun lalu dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan pakar dan diagnostik.

Terletak di Persiaran Anggun Ria, Rawang, hospital itu dibina di atas kawasan seluas kira-kira 2.42 hektar dengan kemudahan lebih 500 ruang letak kereta selain mampu memuatkan 224 katil.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619