e-Invois: LHDN kesan RM1.4 bilion pendapatan tidak dilapor

3 Feb 2026, 3:19 AM
e-Invois: LHDN kesan RM1.4 bilion pendapatan tidak dilapor

PUTRAJAYA, 3 FEB: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengesan sebanyak RM1.4 bilion pendapatan tidak dilaporkan susulan tindakan penguatkuasaan dan semakan audit menerusi pelaksanaan sistem e-Invois yang bermula 1 Ogos 2024.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan lebih 500,000 kes berpotensi telah dikenal pasti menunjukkan corak keupayaan kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada rekod pelaporan pendapatan kepada LHDN.

“LHDN telah menjalankan semakan audit dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka.

“Sebanyak 17,188 pembayar cukai yang sebelum ini didapati tidak mengemukakan borang nyata cukai pendapatan (BNCP), telah tampil dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang berjumlah RM1.4 billion yang menyumbang kepada hasil cukai sebanyak RM290 juta,” menurut kenyataan itu.

Menurut LHDN, sejak sistem itu diperkenalkan sebanyak 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran 979 juta e-Invois secara keseluruhan.

Perkembangan itu menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah pendigitalan operasi perniagaan serta memastikan transaksi direkod atau disimpan secara lebih teratur sama ada di pihak penjual mahu pun pembeli.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diperoleh LHDN telah mengenal pasti pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan untuk tindakan penguatkuasaan, sekali gus mengekalkan keadilan terhadap pembayar cukai yang mematuhi perundangan percukaian.

“Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, LHDN sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak, serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan,” kata LHDN.

Dalam pada itu, semua pembayar cukai diingatkan supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat dan tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619