Gudang terbakar, 76.8 tan limau mandarin musnah

2 Feb 2026, 12:10 AM
Gudang terbakar, 76.8 tan limau mandarin musnah

KOTA BHARU, 1 FEB: Sebanyak 76.8 tan limau mandarin untuk bekalan sambutan Tahun Baharu Cina musnah dalam kebakaran sebuah gudang di Jalan Kebun Sultan di sini, kira-kira 9 malam tadi.

Pengurus gudang Hong Leng Feng, 40-an, berkata dia menyedari kejadian itu selepas menerima panggilan daripada penduduk yang tinggal berhampiran premis tersebut.

“Kesemua limau mandarin ini merupakan bekalan untuk seluruh Kelantan, dengan kebanyakan pasar raya di Kota Bharu mendapatkan bekalan dari gudang ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Beliau berkata gudang berkenaan telah beroperasi selama kira-kira 40 tahun dan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, sekali gus dijangka menjejaskan bekalan limau mandarin sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

“Selain limau mandarin, kesemua bekalan bawang yang disimpan di gudang ini turut musnah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Fadhlizil Iqram Ahmad Pauzi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada 9.09 malam sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.

Beliau berkata pasukan pertama tiba pada 9.16 malam sebelum operasi pemadaman dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu dengan bantuan BBP Kota Darulnaim, BBP Tunjung serta Water Tanker BBP Pengkalan Chepa.

“Sebanyak lima jentera termasuk LFRT, FRT, ALP, Water Tanker dan EMRS digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 11 anggota,” katanya.

Katanya punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, selain operasi pemadaman terpaksa menggunakan skylift berikutan kesukaran memasuki gudang akibat runtuhan rak.

Beliau berkata setakat ini, dua lori dan dua motosikal turut hangus terbakar manakala semua barangan di dalam gudang musnah sepenuhnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619