KPT, MQA bincang pengiktirafan kelulusan bahasa Melayu, sejarah

31 Jan 2026, 12:31 PM
KPT, MQA bincang pengiktirafan kelulusan bahasa Melayu, sejarah

PUTRAJAYA, 31 JAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) minggu depan bagi meneliti aspek teknikal berkaitan pengiktirafan kelulusan pendidikan melibatkan mata pelajaran bahasa Melayu dan sejarah.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perbincangan itu ialah kesinambungan kepada proses libat urus yang telah dimulakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah aliran lain termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Wilayah (Premier) di sini hari ini, beliau berkata fokus perbincangan adalah bagi memastikan kelulusan sedia ada selaras dengan keperluan pengiktirafan apabila pelajar memohon kemasukan ke universiti kelak.

“Jadi, yang akan terlibat (dalam perbincangan) ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan juga Ketua Pegawai Eksekutif MQA.

“Apabila kita nak buat sesuatu, kita pastikan supaya kita benar-benar mendalami perkara yang kita nak buat. Kita tidak boleh hanya membuat keputusan berdasarkan pandangan itu, pandangan ini sebab perkara ini ialah dasar kerajaan,” katanya.

Zambry berkata langkah mewajibkan pembelajaran subjek bahasa Melayu dan sejarah untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di semua sekolah bukanlah bersifat paksaan, sebaliknya bertujuan memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang adil dalam sistem pendidikan negara.

"Ini bukan soal paksaan, justeru saya berharap kita dapat memperbetul tanggapan bahawa perkara ini merupakan satu bentuk desakan dan sebagainya. Yang ingin ditekankan ialah bagi saya, ruang dan peluang untuk setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada pendidikan.

"Kita berhadapan dengan kepelbagaian sistem pendidikan yang wujud pada hari ini. Kita tidak boleh menilai isu ini hanya berdasarkan satu kes semata-mata yang melibatkan satu aliran tertentu,” katanya.

Berhubung karnival berkenaan, beliau berkata acara itu dilihat sebagai platform penting dalam memperkenalkan laluan pendidikan alternatif termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada lepasan sekolah di seluruh negara selain universiti.

“ … kita mengambil pendekatan untuk turun ke bawah berjumpa dengan mereka, memberikan khidmat nasihat kepada mereka tentang peluang yang ada di hadapan mereka. Begitu juga dari segi peluang untuk melanjutkan pelajaran pada hari ini, bukan hanya tertumpu kepada universiti semata-mata, tetapi juga kita melibatkan politeknik dan bidang TVET,” katanya.

Beliau berkata karnival yang bermula dari Khamis hingga esok telah menarik 40,000 pengunjung secara fizikal, manakala lebih 340,000 individu mendapat maklumat serta khidmat nasihat melalui platform dalam talian.

Zambry turut menjangkakan jumlah kehadiran fizikal akan mencecah antara 70,000 hingga 80,000 orang menjelang penutupan program, manakala penyertaan secara dalam talian dijangka meningkat hingga 500,000 orang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619