Ketua Staf Markas Angkatan Bersama ATM didakwa pecah amanah RM5 juta

30 Jan 2026, 4:21 AM
Ketua Staf Markas Angkatan Bersama ATM didakwa pecah amanah RM5 juta

SHAH ALAM, 30 JAN: Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Khamis, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas satu pertuduhan pecah amanah membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) bernilai RM5 juta.

Mohamed Fauzi, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, lapor Berita Harian.

"Faham pertuduhan tersebut, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan," katanya dari kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta TKAT berjumlah RM5 juta dengan membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat, tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), di sini pada 27 November 2023 lalu.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, menawarkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

"Walaupun tertuduh masih memegang jawatan (dalam perkhidmatan), terdapat kemungkinan risiko besar kerana beliau kerap ke luar negara untuk hadiri program di luar negara," katanya.

Bagaimanapun peguam mewakili tertuduh, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang juga dikenali sebagai 'peguam kotak pensel', memohon kepada mahkamah agar kadar jaminan dikurangkan kepada RM70,000.

"Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan masih memegang jawatan (dalam perkhidmatan) serta tidak membantah syarat untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 16 Mac depan.

Terdahulu, beliau tiba di Mahkamah Sesyen, di sini dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berpakaian kemas mengenakan sut biru gelap, beliau sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media sambil menyapa ringkas: "Apa khabar hari ini?" sebelum mengangkat tangan memberi tabik hormat singkat ketika melangkah masuk ke bilik mahkamah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619