1,260 petak niaga diluluskan, MBPJ pantau ketat bazar Ramadan 2026

29 Jan 2026, 4:13 AM
1,260 petak niaga diluluskan, MBPJ pantau ketat bazar Ramadan 2026

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meluluskan 18 tapak bazar Ramadan ‘Lestari dan Prihatin’ 2026 melibatkan 1,260 petak niaga di sekitar Petaling Jaya bagi tempoh operasi 19 Februari hingga 20 Mac ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan program taklimat, cabutan undi dan penyerahan permit kepada peniaga telah berlangsung di Dewan Komuniti BU11, Bandar Utama dan disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon, semalam.

Menurutnya, program tersebut turut merangkumi sesi taklimat kepada peniaga berkaitan pengurusan bazar, keselamatan, kebersihan, kesihatan awam, serta sokongan kewangan dan perlindungan sosial.

“Sesi taklimat ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Agrobank Negeri Selangor bertujuan memperkasa peniaga kecil dan penjaja dari sudut kebajikan, perlindungan sosial serta akses kepada kemudahan pembiayaan,” katanya dalam kenyataan.

Cabutan undi dan penyerahan permit kepada peniaga berlangsung di Dewan Komuniti BU11, Bandar Utama pada 28 Januari 2026. Foto Facebook MBPJ

MBPJ memaklumkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini mengangkat dua elemen utama iaitu Lestari dan Prihatin.

Katanya, elemen Lestari diterapkan menerusi penggunaan pembungkusan mesra alam, pengurusan sisa yang lebih sistematik serta pelaksanaan Program Kitar Semula Minyak Masak.

“Elemen Prihatin pula melibatkan penawaran juadah berbuka puasa pada harga mampu milik di samping menggalakkan amalan jualan berkonsepkan sambil berniaga, sambil menderma,” katanya.

Sebagai nilai tambah, MBPJ turut memperkenalkan Kupon Digital Bazar Ramadan 2026 di beberapa lokasi terpilih serta memperuntukkan sebanyak RM80,000 bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut.

MBPJ turut memaklumkan pemantauan bersepadu akan dilaksanakan di semua lokasi bazar, melibatkan hampir 100 anggota dan warga kerja MBPJ dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memastikan kelancaran operasi dan pematuhan peraturan.

“Selain itu, Kod QR Aduan Bazar Ramadan 2026 turut digunakan sebagai saluran maklum balas orang awam,” katanya.

MBPJ menegaskan pelaksanaan ini mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan pengurusan bazar Ramadan yang mampan, berdaya saing dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini selaras dengan aspirasi menjadikan Petaling Jaya sebagai Bandar Paling Bahagia dan Mampan,” jelasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619