Tengku Permaisuri Selangor serikan pertunjukan fesyen lebaran Ariani di KLCC

29 Jan 2026, 1:11 AM
Tengku Permaisuri Selangor serikan pertunjukan fesyen lebaran Ariani di KLCC

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menghadiri Pertunjukan Fesyen Warna Lebaran Ariani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.

Ketibaan baginda pada 3.15 petang disambut Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Datin Seri Farah Haryani.

Tengku Permaisuri Norashikin meluangkan masa kira-kira dua jam menyaksikan pertunjukan fesyen yang memperagakan lebih 100 rekaan hijab dan busana ditawarkan gedung pakaian itu bersempena lebaran yang akan diraikan pada Mac depan.

Koleksi tahun ini, yang membawakan sebanyak 300,000 helai busana raya merangkumi baju kurung, kebaya, kebarung, kaftan dan jubah turut menampilkan motif alam, flora serta cetakan abstrak kontemporari.

Acara itu mengetengahkan warna-warna tular tahun ini seperti Strawberry Matcha, Teal dan Lime Green yang disesuaikan dengan cita rasa semasa tanpa mengabaikan identiti klasik Ariani.

Gedung pakaian itu menambah daya tarikan kepada koleksi pakaiannya dengan memperkenalkan duta baharunya, pelakon Bront Palarae dan menghangatkan majlis dengan pertunjukan fesyen oleh selebriti seperti Mira Filzah, Qasrina Karim, Elisya Sandha serta pempengaruh media sosial Cik Epal, Ammar Azman dan Madnor.

Pada majlis itu, turut diumumkan kolaborasi istimewa buat tahun kedua antara Ariani dengan gedung fesyen Liberty London yang berpangkalan di ibu negara United Kingdom.

Acara turut diserikan dengan persembahan penyanyi popular tanah air antaranya Kumpulan Ruffedge, Azlina Aziz, Liza Aziz, Datuk M Nasir dan Amelina.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619