Pencerobohan tanah: Pemilik boleh ambil tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi

13 Jan 2026, 2:01 AM
Pencerobohan tanah: Pemilik boleh ambil tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM, 13 JAN: Menceroboh atau mengambil alih tanah milik orang lain adalah perbuatan salah di sisi undang-undang. Pemilik tanah boleh mempertahankan hak mereka dengan memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi.

Peguam, Aizac Ismail berkata pemilik hanya perlu membuat laporan polis dan menyerahkan notis tuntutan sebelum memfailkan saman, memandangkan semua kes berkaitan tanah berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

“Sekiranya notis tuntutan tidak diendahkan, pemilik boleh memohon perintah injunksi serta perintah pengosongan bagi menghalang pencerobohan berterusan dan mengarahkan pihak terbabit mengosongkan kawasan berkenaan.

Pemilik juga berhak menuntut pampasan atau ganti rugi melalui permohonan di mahkamah bagi kerugian yang dialami termasuk kerosakan harta, kehilangan hasil serta kesan kewangan lain akibat tindakan pencerobohan tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Tegas Aizac, pemilik tanah tidak boleh bertindak sendiri seperti merobohkan bangunan haram, sebaliknya perlu mengikut saluran undang-undang serta mengambil langkah proaktif termasuk menjaga dokumen hak milik dan memagar kawasan bagi mengelakkan pencerobohan.

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan hasrat seorang pesara, Suhaili Ahmad, 70, untuk menjual tanah seluas kira-kira satu ekar terbantut apabila dia mendakwa sebuah kuil dibina tanpa kebenaran di atas miliknya di Taman Topaz, Dengkil.

Susulan isu yang tular di media sosial, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang menasihatkan pemilik tanah yang mendakwa tanahnya dicerobohi supaya segera mengambil tindakan undang-undang.

Aizac menjelaskan, tindakan penguatkuasaan hanya terpakai bagi pencerobohan di atas tanah kerajaan, tanah rizab dan tanah perlombongan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) Akta 828.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619