Kelebihan parti pemerintah dalam persempadanan hanya sementara, kata penganalisis

17 Jan 2026, 1:00 AM
Kelebihan parti pemerintah dalam persempadanan hanya sementara, kata penganalisis

SHAH ALAM, 17 JAN: Persempadanan semula kawasan pilihan raya lazimnya memberi kelebihan kepada parti pemerintah, namun ia bersifat sementara dan akan berkurangan dalam pilihan raya berikutnya.

Penganalisis pilihan raya berkata ia berdasarkan enam proses persempadanan sebelum ini, dengan parti pemerintah biasanya memperoleh manfaat pada pilihan raya pertama selepas kajian dibuat.

“Ini adalah pola yang berulang. Setiap kali kajian persempadanan dibuat, parti pemerintah akan mendapat kelebihan dalam pilihan raya pertama.

"Namun selepas itu, kelebihan berkenaan akan merosot dan pembangkang lazimnya memenangi lebih banyak kerusi,” kata Dr G Manimaran kepada Media Selangor.

Bekas wartawan dan editor Dr G. Manimaran ditemubual Bernama di kediamannya di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi baru-baru ini. Foto BERNAMA

Mengulas dakwaan wujudnya manipulasi sistem pengurusan pilihan raya, jelasnya, isu itu sering dibangkitkan pembangkang sebelum 2018, yang mendakwa persempadanan lebih menguntungkan kerajaan.

Beliau menambah persempadanan tidak semestinya melibatkan pertambahan kerusi, sebaliknya boleh sekadar mengubah sempadan kawasan seperti yang berlaku pada 2018.

“Persepsi negatif ini menyebabkan keyakinan rakyat terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terjejas, sedangkan secara prinsipnya persempadanan dilakukan bagi menyediakan perwakilan yang mencukupi dan adil,” katanya.

Dalam pada itu, Manimaran menegaskan kebimbangan bahawa persempadanan akan menjejaskan kawasan majoriti Melayu seperti Sabak Bernam dan Sungai Besar sebagai tidak berasas.

“Majoriti pengundi di kawasan itu kekal Melayu dan sejarah menunjukkan ia tidak dipinggirkan. Tanggapan bahawa persempadanan merugikan orang Melayu adalah politik lama,” katanya.

Menurutnya, sebarang bantahan atau kebimbangan wajar disalurkan melalui proses inkuiri awam semasa pameran laporan kajian yang bakal dilaksanakan SPR kelak.

Sebelum ini, Pengerusi Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan tidak akan menyokong sebarang cadangan persempadanan semula pilihan raya yang boleh menjejaskan kepentingan kawasan majoriti Melayu di negeri ini.

Kebimbangan itu timbul susulan andaian terdapat pihak yang mahu menambah kerusi bukan Melayu menerusi proses persempadanan semula berkenaan.

Beliau menegaskan persempadanan semula perlu dibuat secara menyeluruh melibatkan semua 22 kerusi Parlimen di Selangor dan bukan tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619