Penagih dadah: Ramai masih berfungsi dan bekerja

10 Jan 2026, 2:00 AM
Penagih dadah: Ramai masih berfungsi dan bekerja

SHAH ALAM, 10 JAN: Penagihan dadah hari ini semakin sukar dikesan apabila ramai individu yang terlibat masih mampu bekerja dan menjalani kehidupan harian seperti biasa tanpa menimbulkan kecurigaan.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Nazir Mohammad berkata keadaan itu berlaku kerana penggunaan dadah sintetik yang tidak menunjukkan kesan fizikal ketara seperti dadah tradisional.

Menurut beliau, ada pengguna yang mengambil dadah secara tidak kerap, contohnya pada hujung minggu atau dalam situasi tertentu. Namun, kesan toleransi dadah menyebabkan penggunaan semakin kerap dari semasa ke semasa.

“Sebahagian golongan profesional menggunakan dadah secara tidak kerap dan merasakan ia tidak menjejaskan kehidupan mereka.

“Namun, lama-kelamaan penggunaan ini boleh menyebabkan individu hilang kawalan, sekali gus merosakkan keluarga dan mencetuskan tingkah laku agresif,” katanya ketika menghadiri program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Nazir berkata ibu bapa dan ahli keluarga sering menghadapi kesukaran untuk mengesan penagihan pada peringkat awal kerana dadah sintetik hadir dalam bentuk yang mudah disembunyikan seperti pil, cecair dan campuran dalam vape.

“Tanpa pengetahuan yang mencukupi, masyarakat mungkin tidak sedar bahawa bahan yang dibawa oleh anak atau ahli keluarga sebenarnya adalah dadah,” katanya.

Beliau menegaskan pendidikan pencegahan perlu dilakukan secara berterusan kerana kekurangan maklumat boleh menyebabkan isu penyalahgunaan dadah dipandang ringan.

“Pendidikan pencegahan dadah mesti dibuat secara berterusan. Dadah adalah salah di sisi undang-undang dan tidak boleh dinormalisasikan atas apa jua alasan.

“Pengetahuan sangat penting, terutama kepada ibu bapa, kerana penagihan sering bermula daripada masalah di rumah. Ibu bapa juga perlu tahu bahawa rawatan dan pemulihan boleh diakses sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619