Banjir: Jumlah mangsa di Sarawak terus meningkat, Johor berkurang pagi ini

2 Jan 2026, 2:30 AM
Banjir: Jumlah mangsa di Sarawak terus meningkat, Johor berkurang pagi ini

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak meningkat pagi ini manakala di Johor merekodkan sedikit penurunan.

Di SARAWAK, jumlah mangsa meningkat kepada 1,136 daripada 286 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 791 orang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 252 orang daripada 52 keluarga berada di PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru, Kuching manakala selebihnya di lapan PPS lain.

Kawasan terlibat banjir ialah Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi Baru, Kampung Sungai Batu, Kampung Surih Iban, Taman Malihah, Kampung Tengah Sungai dan Kampung Rantau Panjang di sekitar Kuching.

Sementara itu, kawasan terjejas banjir di Kota Samarahan ialah Kampung Plaie manakala di Lawas ialah Kampung Siang Siang.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat berkurang sedikit kepada 134 orang daripada 36 keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 136 orang semalam.

Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata mereka ditempatkan di lima PPS dengan 40 daripadanya di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek (18 orang), Balai Raya Kampung Sanglang (14 orang), Dewan Serbaguna Kampung Tandong (39 orang) dan bakinya di Balai Raya Kampung Paya.

“Dua sungai di Segamat dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 9.11 meter dan di Jeti Sungai Tekam pula merekodkan 4.04 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asman Shah memaklumkan dua jalan ditutup sepenuhnya, iaitu Jalan Felda Tenggaroh 3 di Mersing susulan cerun runtuh dan Jambatan Kesang-Sungai Rambai di Tangkak yang rosak akibat banjir.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619