Palsu dokumen: Bekas pengarah, artis kebudayaan dipenjara enam bulan denda RM10,000

24 Dis 2025, 9:36 AM
Palsu dokumen: Bekas pengarah, artis kebudayaan dipenjara enam bulan denda RM10,000

KUANTAN, 24 DIS: Seorang bekas pengarah dan seorang artis kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), masing-masing dihukum penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah memalsukan dokumen lima tahun lepas.

Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu terhadap Dayang Kartini Awang Bujang, 49, dan Mardziana Che Mohd Amin, 39, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum dan enam bulan penjara, sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara bagi kedua-dua tertuduh sementara memfailkan rayuan, selain menaikkan jaminan daripada RM10,000 kepada RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan wang tunai berjumlah RM980 yang disita, dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia, manakala pasport wanita itu dikembalikan.

Kedua-dua wanita itu didakwa dengan niat bersama memalsukan dokumen arahan pembayaran berkaitan perkhidmatan menyediakan aksesori set kepala pelanduk untuk kumpulan kesenian jabatan atas nama Anas Niaga berjumlah RM9,920.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat JKKN di sini pada 26 Jun 2020, dengan pengetahuan bahawa perkhidmatan berkenaan tidak dilaksanakan oleh Anas Niaga dan dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan menipu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendawa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan sama.

Peguam Azi Azlin Zulkifli yang mewakili Dayang Kartini dan Mardziana diwakili peguam Taufek Razak, masing-masing merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minimum serta membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap anak guam mereka.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619