Peserta Kedai Pasar Pintu kongsi manfaat program, teruja sambutan penduduk

30 Nov 2025, 11:00 AM
Peserta Kedai Pasar Pintu kongsi manfaat program, teruja sambutan penduduk
Peserta Kedai Pasar Pintu kongsi manfaat program, teruja sambutan penduduk

PETALING JAYA, 30 NOV: Inisiatif Kedai Pasar Pintu membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal dan golongan B40 untuk menambah pendapatan serta membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Peserta program, Kamsiah Mohammed, 57, berkata minat mendalam terhadap perniagaan mendorong beliau menyertai inisiatif berkenaan dan bersyukur kerana peluang diberikan membolehkannya mewakili Blok 5 selain menambah pendapatan keluarga.

“Alhamdulillah, sambutan daripada penduduk sangat memberangsangkan. Program ini benar-benar membantu kami meringankan beban dan memberi peluang untuk berdikari,” katanya kepada Media Selangor.

Skuad Pasar Pintu, Rosni Yahya. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Seorang lagi peserta, Rosni Yahya, 62, berkata sokongan penuh daripada anak-anak menjadi pemangkin semangat untuk dirinya sebagai ibu tunggal terus berdikari dan maju sebagai usahawan kecil di bawah program tersebut.

“Selain jualan di kedai, kami juga menerima pesanan penduduk melalui WhatsApp dan memaklumkan setiap kali stok baharu tiba. Mereka juga boleh mendapatkan buah segar untuk dibuat jus di rumah dengan lebih jimat dan sihat,” tambahnya.

Dalam pada itu, penduduk setempat Hasmah Abdul Majid, 60, berkata kewujudan Kedai Pasar Pintu berhampiran rumah memberi banyak manfaat kerana ia menjimatkan masa, tenaga dan perbelanjaan.

“Kedai Pasar Pintu ini memang memudahkan urusan harian saya sebagai suri rumah kerana tidak perlu lagi pergi jauh untuk mendapatkan keperluan asas. Sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual pun segar,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619