Selangor komited lahir generasi Khaira Ummah melalui Festival Al-Barzanji

23 Nov 2025, 6:14 AM
Selangor komited lahir generasi Khaira Ummah melalui Festival Al-Barzanji

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) komited melahirkan generasi muda berakhlak mulia dan berjiwa Khaira Ummah menerusi penghayatan seni Islam seperti dalam al-barzanji dan marhaban.

Pengarah Jais, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad menegaskan, pihaknya akan terus memberi galakan dalam memperkasa amalan tradisi itu agar terus hidup dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan belia.

“Al-barzanji dan marhaban bukan sekadar penghormatan kepada Rasulullah SAW, malah memperkenalkan akhlak serta keperibadian baginda kepada umat Islam,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Festival Al-Barzanji dan Marhaban Peringkat Negeri Selangor 2025, semalam.

Beliau berkata, melalui alunan tarannum serta sebutan huruf waqaf dan ibtida’ yang tepat, bacaan tersebut mampu menghidupkan semangat cintakan Rasulullah SAW serta memperkukuh pemahaman umat terhadap perjuangan Baginda.

“Al-barzanji menceritakan kisah kehidupan Baginda membawa risalah Islam yang mengangkat martabat manusia dengan menekankan akhlak terpuji,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau menekankan peranan institusi masjid sebagai medium penyatuan umat, bukan hanya terhad kepada tempat ibadah semata-mata.

“Mewujudkan pentadbiran masjid yang inklusif adalah kunci kepada perpaduan dan keamanan dalam masyarakat Islam,” ujarnya.

Festival itu disertai 15 kumpulan dengan hadiah RM10,000 untuk johan, RM7,000 naib johan dan RM4,000 tempat ketiga.

Majlis penutupan turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sahibul Fadhilah Muhammad Farhan Wijaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619