Selangor perkukuh pemantauan JER, pastikan harga sentiasa diselaras

20 Nov 2025, 3:22 AM
Selangor perkukuh pemantauan JER, pastikan harga sentiasa diselaras
Selangor perkukuh pemantauan JER, pastikan harga sentiasa diselaras
Selangor perkukuh pemantauan JER, pastikan harga sentiasa diselaras

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri sentiasa melakukan pemantauan terhadap pelaksanaan program Jualan Ehsan Rahmah (JER), khususnya melibatkan harga dan jenis produk ditawarkan kepada rakyat.

EXCO Pertanian, Dato' Ir Izham Hashim berkata setiap barangan keperluan utama perlu diberikan subsidi 30 peratus seperti yang dipersetujui melalui dasar program tersebut.

Menurutnya, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan JER kekal relevan dengan keperluan rakyat dan pelaksanaannya turut berkembang seiring wujudnya Ehsan Mart, Segi Mart serta inisiatif kerajaan persekutuan.

“Pelarasan bukan sahaja dibuat di peringkat lokasi tetapi harga serta tambahan kepada 12 barangan utama berbanding enam sebelum ini mengikut keperluan semasa.

“Bagi aspek harga, kita juga selaraskan apabila melihat ada penurunan di pasaran sebab persetujuan telah dicapai untuk beri subsidi 30 peratus bagi barangan keperluan utama. Ini supaya lebih ramai rakyat terima manfaat,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh berhubung keberkesanan serta pemantauan program itu pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

JER merupakan program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menawarkan ayam seekor (RM10), daging pejal (RM10/pek), telur (RM8 sepapan) dan ikan kembung (RM6/pek).

Turut dijual minyak masak dua kg (RM10), beras lima kg (RM12), tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER, manakala Kerajaan Negeri turut menyasarkan pembukaan 10 premis Ehsan Mart menjelang akhir tahun ini.

Cawangan pasar raya tersebut telah beroperasi di Sungai Tua, Pandan Indah dan bakal dibuka di Hulu Kelang.

Pasar raya kendalian PKPS itu menawarkan barangan asas pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran.

Ehsan Mart yang diwujudkan sebagai penambahbaikan program JER turut menyasarkan pembukaan di 56 kawasan DUN menjelang 2027.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619