GRS perlukan mandat baharu teruskan agenda Sabah Maju Jaya

16 Nov 2025, 1:38 PM
GRS perlukan mandat baharu teruskan agenda Sabah Maju Jaya
GRS perlukan mandat baharu teruskan agenda Sabah Maju Jaya

KOTA KINABALU, 16 NOV: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan perancangan pembangunan bagi menjadikan Sabah setanding dengan negeri lain, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, kerajaan negeri telah meletakkan asas kukuh untuk memacu Sabah sebagai sebuah negeri yang unggul dan disegani.

“Sepanjang lima tahun lalu, kerajaan negeri pimpinan GRS telah mencapai banyak kejayaan melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.

“Kita mengutamakan pembangunan rakyat, kita berjuang meningkatkan taraf hidup golongan miskin serta pendidikan anak-anak Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik di Tuaran hari ini.

Hajiji berkata keutamaan itu termasuk inisiatif memberikan RM300 sebulan kepada kira-kira 100,000 ketua isi rumah miskin tegar dalam senarai e-Kasih, bermula tahun ini yang tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri menyediakan 40 unit Rumah Mesra SMJ secara percuma di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada golongan memerlukan berbanding dahulu yang menyaksikan setiap kawasan diperuntukkan empat rumah sahaja di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Hajiji berkata dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini, beliau berharap rakyat tidak silap memilih kerajaan negeri baharu kerana GRS telah membuktikan kemampuannya melalui agenda dan perjuangan yang jelas.

“Kami bukan kerajaan yang hanya tahu bercakap, menipu dan menjanjikan bulan dan bintang,” katanya yang berdepan pertandingan lima penjuru dalam usaha mempertahankan DUN Sulaman pada PRN ini.

Hajiji berkata PRN kali ini juga unik kerana tidak pernah berlaku sebelum ini jumlah calon yang bertanding 596 orang bagi merebut 73 kerusi DUN, namun ini adalah sebahagian proses demokrasi dan yakin rakyat akan mengundi dengan bijak.

Sementara itu, beliau menyatakan jentera pilihan raya GRS di DUN Sulaman berada dalam keadaan baik dan sudah bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu mereka turun padang untuk bertemu dan menerangkan sumbangan, pencapaian dan perancangan GRS kepada semua pengundi. Arahan yang sama turut diberikan kepada jentera parti di kawasan lain,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619