Vaksin influenza percuma untuk anak Selangor

16 Nov 2025, 1:05 AM
Vaksin influenza percuma untuk anak Selangor

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Vaksin Anak Selangor (SELVAKSIN) bermula 10 November lalu bagi menangani penularan wabak influenza yang semakin membimbangkan.

Inisiatif ini menawarkan suntikan vaksin influenza secara percuma kepada kanak-kanak berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan awal bagi melindungi kesihatan golongan muda di negeri ini.

Menurut kenyataan SELGATE Healthcare, program itu terbuka kepada kanak-kanak berumur lapan tahun dan ke bawah yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik atau komorbiditi.

Turut disyaratkan, penerima mestilah daripada keluarga kategori B40 dengan pendapatan isi rumah RM5,250 ke bawah serta telah menetap di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun.

Antara lokasi pemberian vaksin termasuk Selgate Specialist Hospital Rawang serta enam cawangan Selcare Clinic terpilih iaitu di UNISEL Shah Alam, Putrajaya, Puchong, Kota Damansara dan SkyPark Subang.

Tawaran ini dilihat selaras dengan pendekatan pencegahan awal yang ditekankan Kerajaan Negeri menerusi pelbagai inisiatif kesihatan termasuk Selangor Saring, Iltizam Selangor Sihat dan Bantuan Sihat Selangor.

Program SELVAKSIN ini juga hadir tepat pada masanya memandangkan penularan wabak influenza semakin meningkat di seluruh negara sejak Oktober lalu, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesahkan peningkatan kes influenza A yang menyebabkan banyak sekolah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk penutupan sementara kelas.

Orang ramai disaran mendaftar lebih awal menerusi imbasan kod QR yang disediakan bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengurusan giliran berjalan lancar di lokasi vaksinasi.

Maklumat lanjut mengenai program boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi Selgate atau menghubungi terus klinik yang terlibat untuk sebarang pertanyaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619