Dua bulan gaji untuk penjawat awam negeri Johor, persekutuan terima RM500

13 Nov 2025, 7:08 AM
Dua bulan gaji untuk penjawat awam negeri Johor, persekutuan terima RM500

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 140,185 penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Johor bakal menerima insentif khas RM500 seorang manakala insentif dua bulan gaji pula untuk penjawat awam negeri yang akan disalur Disember ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian untuk penjawat awam persekutuan itu kali pertama sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka yang berkhidmat di negeri itu melibatkan peruntukan RM70.1 juta.

“Sebagai tanda kasih dan selari dengan semangat whole of nation approach, kerajaan negeri ingin menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam persekutuan di Johor melalui insentif khas RM500 seorang.

“Ini kali pertama dalam sejarah kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas kepada penjawat awam persekutuan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, hari ini, lapor BuletinTV3.

Onn Hafiz turut mengumumkan insentif khas dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan usaha luar biasa.

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian insentif khas dua bulan gaji. Penerima manfaat ini melibatkan 17,454 penjawat awam negeri,” katanya.

Beliau berharap insentif yang diumumkan menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada seluruh penjawat awam agar terus berkhidmat dengan penuh integriti dan komitmen tinggi demi kesejahteraan rakyat Johor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619