Polis siasat video tular mengaibkan anggota URB ketika bertugas

10 Nov 2025, 10:53 AM
Polis siasat video tular mengaibkan anggota URB ketika bertugas

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Polis membuka satu kertas siasatan berkaitan penularan satu video menerusi media sosial yang mengaibkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta di Subang Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata siasatan awal mendapati pemeriksaan oleh anggota URB terhadap kenderaan itu dilakukan dengan tertib mengikut peraturan ditetapkan dan semua individu terlibat telah dilepaskan.

Beliau berkata pihaknya mendapati terdapat video lain memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan yang mengaibkan terhadap anggota polis yang menjalankan pemeriksaan itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan, tuduhan atau ulasan melulu yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menimbulkan kekeliruan awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap pasukan polis,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi kira-kira 2 minit 40 saat memaparkan anggota URB melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta dinaiki warga asing yang cuba memasuki laluan bertentangan dan tidak membawa pasport.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619