'Kumbang Bunga' cipta fenomena, Siti Nurhaliza syukur irama tradisional terus mekar

7 Nov 2025, 6:45 AM
'Kumbang Bunga' cipta fenomena, Siti Nurhaliza syukur irama tradisional terus mekar

SHAH ALAM, 7 NOV: Tatkala ramai menganggap irama tradisional hampir tenggelam di celah arus muzik moden, lagu Kumbang Bunga, hasil kolaborasi sulung Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bersama-sama dengan bintang dangdut popular Indonesia Lesti Kejora, membuktikan sebaliknya.

Menampilkan gabungan irama Melayu, inang dan dangdut dalam nafas segar, lagu penyatuan dua budaya serumpun itu mencipta fenomena tersendiri apabila meraih lebih 1.3 juta tontonan di YouTube dalam tempoh kurang sebulan selepas dilancarkan.

Lebih manis, naskhah ciptaan duo komposer berbakat Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini turut tersenarai dalam tiga pencalonan di Indonesia Dangdut Awards (IDA) 2025 dalam kategori Lagu Dangdut Terpopuler, Video Klip Dangdut Terpopuler dan Duo/Duet/Kolaborasi Dangdut Terpopuler.

Melahirkan kesyukuran atas sambutan diterima, ibu kepada Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa Khalid ini menyifatkan pengiktirafan di peringkat serantau itu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha berterusannya dalam memperkasa muzik tradisional yang semakin jarang diketengahkan.

“Saya rasa bersyukur kerana ia adalah satu kolaborasi yang saya dah rancang lama dan akhirnya jadi kenyataan. Alhamdulillah, kami dapat pencalonan untuk anugerah di Indonesia yang akan berlangsung pada bulan Disember nanti,” katanya kepada Bernama.

Ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, baru-baru ini, Siti Nurhaliza menyifatkan sambutan positif terhadap lagu dan albumnya bergenre tradisional membuktikan peminat masih menantikan karya berteraskan warisan budaya.

“Respons yang diterima daripada awal kita keluarkan single pun dah luar biasa. Nampaknya, ramai yang menantikan album dan nyanyian saya dalam lagu kontemporari dan tradisional.

“Saya harap album ini boleh pergi lebih jauh dan mendapat penerimaan sehebat Cindai, bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh nusantara,” kata penyanyi yang telah merangkul lebih 300 anugerah dalam dan luar negara sepanjang hampir 30 tahun dalam industri hiburan negara.

Mengulas mengenai konsep muzik lagu berkenaan, Biduanita Negara ini berkata penyatuan dua suara dan jiwa dalam Kumbang Bunga yang diterjemahkan menerusi gabungan nuasa Malaysia dan Indonesia ini, mengambarkan keunikan dua budaya penyanyi serumpun.

“Memang ada elemen dangdut dalam lagu itu tetapi ada juga irama Melayu dan Inang. Bahagian dangdut itu khusus untuk Lesti manakala elemen Inang dan nyanyian Melayu pula, lebih kepada saya. Itulah tujuan utama lagu duet ini,” jelasnya.

Berkongsi mengenai kerjasama dengan Lesti, anak kelahiran Temerloh, Pahang ini menyifatkan penyanyi dari seberang itu sebagai seorang yang mudah memberikan komitmen sepanjang proses rakaman dan penghasilan muzik video.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza turut sama menzahirkan penghargaan kepada peminat dari seluruh rantau yang terus menyokong kerjayanya termasuk dalam usaha memperkenalkan muzik tradisional ke peringkat antarabangsa.

“Peminat saya di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura sudah menerima lagu-lagu yang saya keluarkan sebelum ini sampai sekarang. Sekarang dengan teknologi moden tidak ada batas, boleh didengar di seluruh dunia,” katanya.

Kumbang Bunga merupakan antara 10 lagu yang dimuatkan dalam album tradisional terbaharu Siti Nurhaliza berjudul Gema Bumantara, yang diluncurkan pada 28 Okt lepas, menjadi kesinambungan perjalanan seni penyanyi tersohor itu dalam memperkasa dan memperindah warisan muzik tradisional Melayu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619