PBT Selangor ada kuasa ambil tindakan tegas terhadap pembakaran terbuka

1 Nov 2025, 6:51 AM
PBT Selangor ada kuasa ambil tindakan tegas terhadap pembakaran terbuka
PBT Selangor ada kuasa ambil tindakan tegas terhadap pembakaran terbuka
PBT Selangor ada kuasa ambil tindakan tegas terhadap pembakaran terbuka

SEPANG, 1 NOV: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka, maklum EXCO alam sekitar.

Jamaliah Jamaluddin berkata tindakan boleh diambil secara perundangan melalui Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Pewakilan Kuasa Kepada Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan Dan Perbadanan) 2025 yang diwartakan pada 7 Julai lepas.

“Melalui pewartaan ini, PBT mempunyai punca kuasa untuk mengambil tindakan perundangan di bawah subseksyen 29A(5) Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Oleh itu, saya menyeru semua PBT untuk mengambil tindakan perundangan sewajarnya ke atas pelaku kes pembakaran terbuka bagi mengekang jerebu dan pencemaran udara,” katanya.

Selangor mempunyai 12 PBT, dengan empat daripadanya berstatus bandaraya, tujuh berstatus perbandaran dan satu PBT berstatus daerah.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin melawat reruai selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Selangor di Paya Indah Wetland, Dengkil pada 1 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Berucap pada Majlis Hari Alam Sekitar Selangor 2025, Jamaliah memberitahu sebanyak 1,992 aduan pembakaran terbuka direkodkan di negeri ini sepanjang tahun 2024.

“Manakala bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, sebanyak 772 kes dilaporkan, dengan 60 peratus daripadanya berpunca daripada pembakaran sampah kecil dan aktiviti di kawasan perumahan.

“Pembakaran terbuka jika tidak dikawal dengan baik boleh menyumbang kepada masalah jerebu dan pencemaran udara setempat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Selangor dianugerahkan tanah gambut seluas 173,198 hektar meliputi kawasan hutan simpan dan tanah pertanian di daerah Kuala Langat, Klang dan Kuala Selangor.

“Justeru ia menjadi kawasan penting yang perlu dipelihara untuk kestabilan ekosistem serta keseimbangan iklim global,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619