Kekerapan gangguan Aerotrain tidak boleh diterima, MAHB mesti bertanggungjawab - menteri

30 Okt 2025, 12:35 PM
Kekerapan gangguan Aerotrain tidak boleh diterima, MAHB mesti bertanggungjawab - menteri
Kekerapan gangguan Aerotrain tidak boleh diterima, MAHB mesti bertanggungjawab - menteri

PUTRAJAYA, 30 OKT: Kekerapan gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak boleh diterima dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan dipertanggungjawabkan atas sebarang gangguan yang didapati disebabkan isu teknikal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata MAHB selaku pemegang konsesi bertanggungjawab terhadap projek dilaksanakan kontraktor yang dilantik iaitu Alstom dan IJM-PESTEC Joint Venture (IPJM).

“Kami kena pastikan perkhidmatan ini lebih dipercayai… kami masih tak puas hati lagi dalam tempoh empat bulan berlaku begitu banyak kali gangguan bagi satu sistem baharu.

“Beberapa gangguan adalah disebabkan oleh kesalahan teknikal yang tidak sepatutnya berlaku. Itu yang perlu kami ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini hari ini.

Loke berkata sebarang tindakan punitif hanya akan diambil selepas siasatan terhadap setiap insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain diselesaikan.

Selasa lepas, Loke mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap MAHB susulan gangguan terbaharu perkhidmatan Aerotrain pada awal pagi hari yang sama.

Beliau berkata lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan syarikat itu wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.

Mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun hingga RM250,000 bagi setiap kesalahan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga sedang menjalankan siasatan terhadap kemungkinan terdapat unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaksanaan projek Aerotrain.

-- BERNAMA

TAG: Aerotrain, gangguan, MAHB, siasatan, Anthony Loke

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619