Belanjawan Selangor 2026 fokus atasi banjir, teruskan RTB Sungai Buloh Fasa 2

24 Okt 2025, 1:03 PM
Belanjawan Selangor 2026 fokus atasi banjir, teruskan RTB Sungai Buloh Fasa 2

SHAH ALAM, 24 OKT: Belanjawan Selangor 2026 akan memberi tumpuan kepada projek naik taraf bagi menangani isu banjir demi manfaat rakyat, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memperuntuk RM2.2 bilion bagi 43 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi dalam Belanjawan Negara 2026.

“Sebahagian projek akan diteruskan termasuk RTB Sungai Buloh Fasa 2 selain tumpuan kepada anak sungai, sistem longkang dan perparitan bagi mengatasi banjir,” katanya pada Majlis Pelepasan Skuad Pengurusan Bencana Negeri di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Amirudin turut memaklumkan Belanjawan Selangor 2026 akan dibentang pada 14 November ini dengan penekanan kepada kebajikan dan pemberdayaan semua rakyat termasuk masyarakat India.

Terdahulu, Anwar ketika pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat memaklumkan sejumlah RM2.2 bilion diperuntuk bagi meneruskan pelaksanaan 43 projek RTB berkeutamaan tinggi termasuk RTB Sungai Buloh Fasa 2.

Katanya, RTB lain termasuk RTB Sungai Mengkibol, Mukim Kluang, Kluang dan RTB Sungai Chaah, Segamat di Johor serta RTB Sungai Temin/Bata, Kubang Pasu, Kedah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619