Istiadat Persandingan Diraja berlangsung penuh adat, tradisi

22 Okt 2025, 1:25 PM
Istiadat Persandingan Diraja berlangsung penuh adat, tradisi
Istiadat Persandingan Diraja berlangsung penuh adat, tradisi
Istiadat Persandingan Diraja berlangsung penuh adat, tradisi
Istiadat Persandingan Diraja berlangsung penuh adat, tradisi
Istiadat Persandingan Diraja berlangsung penuh adat, tradisi

KLANG, 22 OKT: Istiadat Persandingan Diraja Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz, berlangsung dengan penuh istiadat dan tradisi di Istana Alam Shah di sini, malam ini.

Istiadat bermula jam 7.45 petang itu disaksikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Istiadat bermula selepas pasangan pengantin diraja yang segak dan anggun menggayakan busana songket berwarna kuning cair, dibawa masuk ke Balairung Seri diiringi gemersik orkestra.

Majlis itu kemudian diserikan dengan istiadat merenjis yang dizahirkan oleh Sultan Sharafuddin dan Tengku Norashikin, diikuti bonda Tengku Amir Yang Mulia Puan Nur Lisa Idris Abdullah serta kerabat diraja.

Istiadat Persandingan Diraja diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir, sebelum disusuli Majlis Santapan Diraja yang berlangsung di Balai Santapan Diraja.

Pada 2 Oktober lalu, pasangan pengantin diraja dinikahkan Dr Anhar, dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.

Istiadat pernikahan yang dilakukan dengan penuh tertib mengikut adat itu disaksikan Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Akad ijab dan kabul dilafazkan pada 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artilleri Diraja (Istiadat) sebagai simbolik sempurnanya istiadat pernikahan pasangan diraja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619