Ardell dedah diugut selepas pulang dari misi kemanusiaan

21 Okt 2025, 4:25 AM
Ardell dedah diugut selepas pulang dari misi kemanusiaan

SHAH ALAM, 21 OKT: Pelakon dan aktivis kemanusiaan Ardell Aryana mendakwa menerima ugutan sejurus pulang daripada menyertai misi kemanusiaan bersama Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.

Menurut Ardell, terdapat individu yang sanggup menawarkan wang bagi mendapatkan lokasi keberadaannya selepas pulang ke tanah air.

“Ada yang sanggup menghubungi pengurus saya dan menawarkan RM5,000 untuk memperoleh lokasi saya. Mereka sangat tegas mahu dapatkan maklumat ini tetapi saya tidak kisah atau takut dengan ugutan tersebut,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok baru-baru ini.

Ardell turut menjelaskan punca beliau tidak lagi membuat siaran langsung sejak kebelakangan ini, menafikan ia disebabkan ketakutan terhadap pihak tertentu.

“Saya tidak melakukan siaran langsung bukan kerana takut kepada Israel, walaupun saya tahu mereka mengawasi ‘live’ saya. Saya ‘hilang’ dari media sosial kerana menjaga ibu dan mohon maaf kepada yang merisaukan saya,” katanya.

Beliau dalam masa sama berkongsi keadaan kesihatan terkini selepas menyertai misi tersebut.

“Berat badan saya menurun dengan banyak, lebam yang saya alami tidak serius, bahu tidak patah cuma tisu terkoyak,” katanya.

Ardell turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang menyambut kepulangannya di lapangan terbang dan menyeru orang ramai agar terus bersuara demi perjuangan rakyat Palestin.

“Saya terharu dengan sokongan yang diberikan, malah ada yang menghadiahkan saya al-Quran. Teruskan bersuara untuk Palestin dan tegakkan keadilan,” katanya.

Ardell atau Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, antara 23 aktivis kemanusiaan dari Malaysia yang menyertai misi GSF ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Namun, misi tersebut tidak kesampaian apabila bot dinaiki mereka telah dipintas oleh tentera rejim Zionis dan kesemua aktivis ditahan buat sementara waktu.

Kumpulan aktivis itu termasuk Ardell kemudian dibebaskan dan selamat tiba di tanah air pada 7 Oktober lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619