Kes rogol, jenayah seksual disiasat tanpa mengira umur - Azalina

13 Okt 2025, 6:24 AM
Kes rogol, jenayah seksual disiasat tanpa mengira umur - Azalina

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kerajaan memberi jaminan bahawa setiap kes rogol atau jenayah seksual akan disiasat di bawah Kanun Keseksaan tanpa mengira umur pelaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata status bawah umur tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melepaskan seseorang daripada tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan.

Beliau berkata siasatan bagi kes seumpama itu akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk jika ia melibatkan pelajar sekolah atau individu bawah umur.

Azalina berkata walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai prosedur tersendiri dalam menangani isu salah laku seksual, kes jenayah itu tetap tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa undang-undang jenayah.

“Bagi undang-undang jenayah, ia tetap satu kesalahan… siasatan akan tetap dijalankan oleh PDRM. Biarlah polis menyiasat supaya tindakan sewajarnya akan dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator untuk forum Nation Building and Future Resilience: Youth and Bullying di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa empat suspek kes rogol di Melaka yang semuanya di bawah umur boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dijadual bermula 3 Nov depan.

Fadhlina berkata segala tindakan undang-undang dalam kes itu diserahkan kepada pihak polis dan KPM akan menumpukan kepada pengurusan aspek disiplin serta ekosistem sokongan sekolah termasuk masa depan pendidikan pelajar terlibat.

Azalina juga berkata sekiranya Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan hasil siasatan dan terdapat bukti yang mencukupi, pendakwaan akan dilakukan di mahkamah.

“Jika pelaku berumur bawah 18 tahun, sistem pendakwaan akan dijalankan di Mahkamah Kanak-Kanak. Namun, dia tetap akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

“Jangan salah faham... salah tetap salah, jahat tetap jahat... hukuman tetap akan dikenakan tetapi mahkamahnya mungkin mahkamah berlainan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619