Rangkaian Penjagaan Selangor dilancar, perkukuh agenda kebajikan inklusif

9 Okt 2025, 5:44 AM
Rangkaian Penjagaan Selangor dilancar, perkukuh agenda kebajikan inklusif
Rangkaian Penjagaan Selangor dilancar, perkukuh agenda kebajikan inklusif
Rangkaian Penjagaan Selangor dilancar, perkukuh agenda kebajikan inklusif
Rangkaian Penjagaan Selangor dilancar, perkukuh agenda kebajikan inklusif

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Selangor melancarkan Rangkaian Penjagaan Selangor hari ini susulan pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan diumum pada November 2024 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Inisiatif menerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Penjagaan itu mengambil kira aspek penjagaan warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya serta mengukuhkan sokongan komuniti penjaga.

Dengan slogan ‘We care, stronger together’, ia dirasmi ketika Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dilancar EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Siti Faridah Abdul Samad dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari bersama Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Rangkaian Penjagaan Selangor turut bertindak sebagai platform memperkukuh dan mengembangkan agenda penjagaan membabitkan badan bukan kerajaan, badan antarabangsa, sektor swasta, pelabur, institusi akademik serta Persatuan-Persatuan Masyarakat Madani.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama melaksana inisiatif sebagai Bandar Penjagaan Inklusif. Sehingga kini Petaling Jaya menempatkan 823,794 penduduk, sementara Daerah Petaling populasinya mencecah lebih 2.3 juta orang, menjadikannya antara kawasan paling padat dalam Malaysia.

Pemegang taruh yang berminat menyertai Rangkaian Penjagaan Selangor digalakkan mendaftar dalam laman sesawang www.selangorcaresummit.com dan memilih ruangan ‘become our partner’.

Selangor negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduk di negeri ini berumur 65 tahun ke atas.

Dasar berlangsung sehingga 2030 itu memberi tumpuan lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619