NASIONAL

Rombakan, pertukaran jawatan babit semua peringkat

6 Jan 2019, 3:18 AM
Rombakan, pertukaran jawatan babit semua peringkat

PUTRAJAYA, 6 JAN: Rombakan dan pertukaran jawatan tidak hanya membabitkan jawatan Ketua Setiausaha (KSU) sebaliknya ia membabitkan di semua peringkat penjawatan perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, rombakan pertukaran jawatan itu adalah amalan biasa dilakukan dalam sektor awam bertujuan memantapkan operasi dan kecekapan perkhidmatan awam.

"Kita tidak mahu mereka terlalu lama dan selesa di sesuatu jawatan serta kita galakkan pengalaman yang mereka ada dibawa ke kementerian lain untuk menambah kecekapan," katanya kepada media selepas menghadiri Program Car Free Day Putrajaya di sini, hari ini.

Menolak dakwaan pertukaran dan rombakan terbabit dipengaruhi elemen politik, sebaliknya dibuat secara profesional.

"Rombakan ini bagus kerana ia bersifat inklusif dan kerana kepakaran di kementerian lama dibawa ke kementerian baharu," katanya.

Beliau mengulas mengenai rombakan besar membabitkan pertukaran KSU kementerian dan Ketua Pengarah kerajaan berkuat kuasa esok.

Sebanyak 12 KSU kementerian terbabit dalam pertukaran berkenaan iaitu tujuh pertukaran kementerian manakala lima lagi membabitkan kenaikan pangkat sebagai KSU baharu.

Antaranya, KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim ditukarkan ke Kementerian Kerja Raya dan tempat beliau digantikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas yang sebelum ini di Kementerian Pendidikan.

Ketika ditanya berhubung ura-ura sama ada Alwi terus kekal di Kementerian Dalam Negeri, Ismail menjelaskan, senarai rombakan itu tetap diteruskan dan tidak akan berlaku perubahan.

Ismail berkata, pertukaran jawatan KSU di beberapa kementerian akan diteruskan memandangkan terdapat KSU yang akan bersara wajib dalam masa enam bulan akan datang.

SUMBER: BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619