Polis siasat kenderaan tampal pelekat bahasa hebrew

8 Okt 2025, 1:45 AM
Polis siasat kenderaan tampal pelekat bahasa hebrew

MELAKA, 8 OKT: Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung sebuah kenderaan pacuan empat roda didakwa menampal pelekat tulisan Hebrew di belakang kenderaan itu yang membawa maksud 'Malaysia adalah Rumah Kita' atau 'Malaysia di Tangan Kami'.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka pada 3.32 petang semalam, selepas melihat sebuah video berkaitan tindakan itu di media sosial 'Thread'.

Beliau berkata video berdurasi 14 saat yang tular semalam di media sosial mengundang pelbagai reaksi termasuk kebimbangan dan kemarahan orang ramai terhadap maksud pelekat berkenaan.

"Berdasarkan semakan dijalankan, kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 504(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan telus demi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat sentiasa terjamin.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penyebaran video tersebut.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619