UNICEF: 61,000 kanak-kanak terbunuh, cacat sejak konflik Israel-Palestin tercetus

8 Okt 2025, 12:05 AM
UNICEF: 61,000 kanak-kanak terbunuh, cacat sejak konflik Israel-Palestin tercetus

LEBIH 60,000 KANAK-KANAK TERBUNUH, CACAT DALAM KONFLIK ISRAEL-PALESTIN - UNICEF

GENEVA, 7 OKT: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa berkata dalam tempoh dua tahun sejak tercetusnya konflik Israel-Palestin, kira-kira 61,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cacat, lapor Xinhua.

Bercakap pada sidang media di Geneva, Switzerland jurucakap UNICEF Ricardo Pires berkata secara purata, seorang kanak-kanak terbunuh atau cedera setiap 17 minit sambil menyifatkan angka itu sebagai “tidak boleh diterima” dan “mengejutkan”.

Pires menzahirkan rasa kesal terhadap hakikat bahawa kanak-kanak telah “menderita dari segi fizikal dan mental untuk tempoh yang terlalu lama,” terus mengalami trauma dan “terdedah kepada kengerian yang tidak sepatutnya dilihat atau dialami oleh mana-mana kanak-kanak.”

Beliau menyatakan bahawa di Gaza, seorang daripada lima bayi dilahirkan pramatang, namun wilayah itu kekurangan infrastruktur penting untuk memastikan kelangsungan hidup mereka, dengan adanya laporan bahawa kanak-kanak terpaksa berkongsi topeng oksigen untuk terus hidup.

UNICEF juga memaklumkan bahawa pasukannya di Gaza masih menunggu kebenaran untuk membawa masuk inkubator dan ventilator bagi bayi pramatang yang dipindahkan dari utara Semenanjung Gaza.

“Kami telah berjaya memindahkan bayi-bayi itu ke kemudahan lain apabila hospital tempat mereka dirawat perlu dikosongkan, tetapi kami belum berjaya memindahkan inkubator... kebenaran masih belum diberikan,” kata Pires.

-- BERNAMA-XINHUA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619