Kerajaan bentang pindaan pisah kuasa peguam negara, pendakwa raya tahun depan

6 Okt 2025, 6:04 AM
Kerajaan bentang pindaan pisah kuasa peguam negara, pendakwa raya tahun depan

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan akan membentangkan cadangan pemisahan kuasa sepenuhnya antara peguam negara dan pendakwa raya melalui pindaan perlembagaan persekutuan pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Jemaah Menteri telah bersetuju menerima pakai model pengasingan penuh pada 10 September lepas iaitu fungsi peguam negara dan pendakwa raya akan dipegang oleh dua individu berbeza yang mempunyai kedudukan setara.

“Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan sekadar isu teknikal undang-undang, tetapi berkait langsung dengan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan.

“Sebab itu kerajaan mahu laksanakannya secara teliti, menyeluruh dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin mengetahui status terkini cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, pemisahan kuasa tersebut merupakan agenda reformasi Kerajaan Madani bagi memperkukuh prinsip akauntabiliti serta ketelusan dalam sistem perundangan negara.

Azalina menambah kerajaan turut akan memperkenalkan dua rang undang-undang baharu iaitu Rang Undang-Undang Saraan bagi menentukan struktur gaji dan elaun bagi jawatan Pendakwa Raya, serta Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang Pendakwaan untuk menyelaras pelbagai undang-undang berkaitan fungsi pendakwaan selepas pindaan pemisahan kuasa dikuatkuasakan.

“Bagi langkah seterusnya, pertama, pindaan Perlembagaan Persekutuan mesti dibuat untuk menyediakan sumber kuasa (untuk pengasingan kuasa).

"Selepas pindaan (perlembagaan) dikuatkuasakan, kerajaan akan membentangkan dua rang undang-undang susulan,” ujarnya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619