Israel pintas kapal GSF: Aktivis pro-Palestin Eropah adakan tunjuk perasaan

2 Okt 2025, 12:23 AM
Israel pintas kapal GSF: Aktivis pro-Palestin Eropah adakan tunjuk perasaan

BRUSSELS, 2 OKT: Aktivis pro-Palestin mengadakan protes di seluruh Eropah pada Rabu susulan tindakan tentera Israel memintas kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF), menurut Anadolu Ajansi .

Di Rom, ratusan penunjuk perasaan, termasuk pelajar dan ahli kesatuan sekerja peringkat akar umbi berhimpun di Piazza dei Cinquecento di hadapan Stesen Termini.

Peserta menyekat lalu lintas di dataran itu dan jalan-jalan sekitarnya, sambil melaungkan slogan seperti "Let’s block everything for the Flotilla and for Palestine."

Polis menutup beberapa stesen metro dan mengehadkan akses penumpang ke Stesen Termini. Penunjuk perasaan merancang untuk berarak ke Piazza Barberini dengan penyertaan kira-kira seribu orang.

Kesatuan-kesatuan sekerja Itali, Unione Sindacale di Base (USB) dan Confederazione Generale Italiana del Lavoro (CGIL) telah menyeru mogok umum di seluruh negara pada 3 Okt.

Di Barcelona, ratusan orang berkumpul di luar konsulat Israel untuk mengecam tindakan pemintasan itu dan menyatakan solidariti dengan Gaza.

Tunjuk perasaan serupa turut dilaporkan di Berlin apabila puluhan orang berhimpun di Central Station bagi membantah serangan Israel manakala di Brussels, penunjuk perasaan berarak dari Place de la Bourse menuju ke Kementerian Luar Belgium.

Ratusan orang juga dijangka mengadakan protes di London pada Khamis.

Penganjur GSF berkata pemintasan itu berlaku ketika kapal-kapal perang Israel menyekat komunikasi dan bergerak untuk menghentikan konvoi itu. Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza (ICBSG) mengesahkan bahawa tentera Israel telah menyerbu kapal Alma dan Sirius.

Beberapa aktivis memuat naik rakaman video di media sosial yang mengesahkan bahawa bot tentera laut Israel menghampiri konvoi itu dan mengarahkan mereka menukar haluan.

Flotila itu yang sebahagian besarnya membawa muatan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan belayar pada akhir Ogos lepas dan dijangka tiba di pantai Gaza pada pagi Khamis sekiranya tiada halangan.

Ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun apabila kira-kira 50 buah kapal belayar bersama menuju ke Gaza, membawa 532 penyokong awam dari lebih 45 negara ke wilayah yang didiami 2.4 juta rakyat Palestin dan berada di bawah sekatan Israel selama 18 tahun.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619