Sambutan Deepavali Selangor 17 Oktober, dijangka himpun 10,000 tetamu di Klang

1 Okt 2025, 11:00 AM
Sambutan Deepavali Selangor 17 Oktober, dijangka himpun 10,000 tetamu di Klang

SHAH ALAM, 1 OKT: Sambutan Hari Deepavali peringkat Selangor 2025 dijadual berlangsung pada 17 Oktober ini bertempat di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang, maklum EXCO sumber manusia.

V Papparaidu berkata dijangka dihadiri kira-kira 10,000 tetamu daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, majlis perasmian dijangka disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Majlis ini bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum serta meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi asas keharmonian negeri.

“Penganjuran program ini bukan sahaja melambangkan semangat perpaduan, malah menjadi medium untuk mengekalkan warisan budaya dalam suasana penuh kebersamaan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Papparaidu, pelbagai pengisian menarik dirancang, termasuk persembahan kebudayaan tradisional yang melambangkan keunikan perayaan Deepavali.

Selain itu, penyerahan cek Bantuan Peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam LIMAS (kuil), penyerahan Program Bantuan Peralatan I-SEED serta jamuan makan untuk tetamu.

“Sambutan ini jelas memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri dalam meraikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh keharmonian rakyat berbilang bangsa yang amat penting kerana Selangor negeri yang berbilang kaum dan agama, maka usaha memperkukuhkan persefahaman antara rakyat harus sentiasa dititikberatkan.

“Ia bukan sekadar acara perayaan semata-mata, tetapi merupakan wadah penting untuk memupuk perpaduan, mengekalkan keharmonian dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Ini selaras konsep Malaysia Madani serta aspirasi Kita Selangor yang mengangkat nilai perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619