Pertemuan dengan Trump jadi medan dialog keamanan, bantuan kemanusiaan ke Gaza - Anwar

30 Sep 2025, 2:34 PM
Pertemuan dengan Trump jadi medan dialog keamanan, bantuan kemanusiaan ke Gaza - Anwar

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kelak akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog kekal sebagai antara aparat utama dalam menjamin keamanan dan pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar untuk rakyat Gaza.

Beliau berkata pertemuan itu juga akan menjadi ruang untuk suara keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi.

“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Anwar turut menitipkan doa buat pasukan sukarelawan dari Malaysia serta keseluruhan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang berlayar ke Gaza.

Beliau berkata kerajaan Malaysia kekal mendukung dan sentiasa bersama-sama pasukan misi itu bagi memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada rakyat Gaza.

“Apa yang utama ialah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak, dan dijangka mula memasuki zon merah pada esok hari.

“Ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turkiye, Itali dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga. Hubungan akrab dan langsung yang kita terus kekalkan dengan pelbagai pihak pada peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global,” kata beliau.

Anwar berkata 34 rakyat Malaysia yang kini bersama dengan pasukan itu juga tentunya terpahat dalam catatan sejarah demi menegak keadilan dan membela kemanusiaan.

“Justeru, hari-hari yang mendatang ternyata mencabar. Musuh mungkin menggertak, menyerang. Namun, kekentalan semangat saudara-saudara di lautan inilah yang meleraikan resah dan menyala harapan,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, Donald Trump, Gaza, dialog, keamanan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619