Selangor lancar Pelan Ekonomi Kreatif 2025-2035, sasar jadi hab serantau industri kreatif

23 Sep 2025, 8:03 AM
Selangor lancar Pelan Ekonomi Kreatif 2025-2035, sasar jadi hab serantau industri kreatif

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 yang memfokuskan teras multimedia, warisan dan seni budaya akan dilancar sempena sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung November ini.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi turut menjangkakan pelan terbabit menerima peruntukan sewajarnya pada Belanjawan Selangor 2026 bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi jingga selama 10 tahun berjalan lancar.

Jelasnya, pelan dirangka Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Selangor Youth Community (SAY) akan membabitkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor.

“Bermula tahun depan, kita akan laksanakan program latihan dan pendedahan kepada usahawan kita. Ini akan berikan mereka pemahaman kepada pembangunan perniagaan dan memahami realiti pasaran.

“Pada masa sama kita akan bantu mereka yang memiliki produk berpotensi untuk mengeksport ke pasaran luar. Ini antaranya perancangan terkandung dalam pelan dan sedang diteliti secara menyeluruh,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin di Pusat Konvensyen MBSA, di sini hari ini.

SCEE25 menjadi platform untuk mengangkat Selangor sebagai hab kreatif serantau dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM20 bilion menjelang 2035.

Sepanjang dua hari berlangsung hingga esok, program melibatkan 500 pemain industri itu mengetengahkan enam pemangkin utama merangkumi pembangunan bakat, akses pasaran dan pembiayaan.

Turut ditekankan pada program bertema ‘Re:Imagine Selangor-Creativity is the New Economy’ adalah aspek kesiapsiagaan infrastruktur, pemerkasaan digital serta tatakelola yang mantap.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619