Agensi perubahan iklim Selangor berasaskan sains, data tangani ancaman iklim

19 Sep 2025, 8:12 AM
Agensi perubahan iklim Selangor berasaskan sains, data tangani ancaman iklim
Agensi perubahan iklim Selangor berasaskan sains, data tangani ancaman iklim

SHAH ALAM, 19 Sept — Agensi perubahan iklim baharu ditubuhkan Selangor akan menggunapakai penyelesaian berasaskan sains dan data untuk mengurangkan ancaman iklim, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata Pusat Adaptasi Iklim Selangor (SCAC) merupakan sebahagian daripada usaha negeri menyelaras dasar dan pelan tindakan berkaitan pertumbuhan ekonomi mampan, peluasan tenaga boleh diperbaharui serta inisiatif pembiayaan iklim termasuk pasaran karbon.

“Langkah ini boleh menjana hasil bagi usaha adaptasi untuk manfaat jangka panjang rakyat Selangor,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Jamaliah berkata SCAC juga akan memperkukuh kerjasama dengan organisasi antarabangsa termasuk Malaysia Industry-Government Group for High Technology serta United Nations Global Compact Network Malaysia dan Brunei.

Kerjasama itu berpotensi membuka akses pembiayaan di bawah Program Bandar Lestari Bersepadu Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) selain menawarkan insentif hijau kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Pengarah Eksekutif SCAC, Daniel Lee berkata kerja pusat itu akan dipandu kajian jangka pendek dan panjang mengenai risiko serta kerentanan iklim, sekali gus membolehkan negeri memberi keutamaan kepada kawasan berisiko tinggi seperti zon mudah banjir.

Beliau menegaskan pelan pembangunan baharu perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus bagi kawasan hijau dan taman yang boleh berfungsi sebagai kawasan tadahan air.

Lee turut menekankan peranan SCAC dalam pengumpulan data, termasuk kerjasama dengan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) untuk menyediakan data iklim setempat bagi tujuan perancangan saliran dan infrastruktur.

Beliau mengakui terdapat pemilik tanah yang mungkin menolak inisiatif adaptasi namun menegaskan libat urus berterusan perlu dilakukan bagi menggalakkan kerjasama.

SCAC yang dilancarkan Mei lalu dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan turut disertai wakil jabatan negeri, agensi, ahli akademik serta pakar iklim yang ditugaskan memastikan gerak balas bersepadu terhadap perubahan iklim.

Sebelum pelancarannya, Amirudin sering menekankan kepentingan menubuhkan SCAC sebagai langkah mitigasi ancaman iklim di negeri itu yang pernah mengalami beberapa siri banjir besar.

Antara paling buruk dalam ingatan ialah bencana banjir pada Disember 2021 yang menenggelamkan 29 kawasan di Selangor, dengan Taman Sri Muda di Shah Alam antara yang paling teruk terjejas.

Kajian alam sekitar turut memberi amaran bahawa kenaikan paras laut boleh menenggelamkan Pelabuhan Klang, hab perdagangan utama negeri, menjelang tahun 2100 sekiranya tiada tindakan pencegahan diambil.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619