Menteri arah siasat segera insiden ketua polis Dang Wangi diserang

11 Sep 2025, 8:56 AM
Menteri arah siasat segera insiden ketua polis Dang Wangi diserang

PUTRAJAYA, 11 SEPT: Pihak berkuasa diarahkan segera melaksanakan siasatan rapi berhubung insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman bagi memastikan dalang serta pelaku yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi kenyataan berkata insiden menyerang hingga mencederakan seorang penjawat awam hari ini iaitu Ketua Polis Daerah Dang Wangi merupakan satu tindakan keji, tidak bertamadun dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini. Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan, namun kebebasan ini tidak boleh disalah guna dan mesti dipatuhi dalam kerangka undang-undang, adab serta norma masyarakat,” katanya.

Sulizmie Affendy dilaporkan cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.

Saifuddin Nasution berkata Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang berlandaskan undang-undang, setiap warga perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang itu dan mengelakkan sebarang tindakan bercanggah dengan peraturan negara.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat, serta integriti pasukan keselamatan negara, adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian.

“Prinsip ini konsisten dipelihara sejak sekian lama dengan pelbagai himpunan yang berlangsung tanpa sekatan, selagi mana ia mengikut lunas undang-undang.

“Namun, kebebasan ini hadir bersama tanggungjawab. Ia menuntut semua pihak untuk mematuhi hukum, adab, serta undang-undang negara,” katanya.

Beliau menegaskan yang kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha menyalahgunakan hak berhimpun untuk tujuan politik sempit, mencetuskan suasana tidak tenteram, atau menghasut kebencian melalui maklumat palsu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619