Lima termasuk tiga penjawat awam direman, kes tuntutan bekalan lembu

10 Sep 2025, 8:22 AM
Lima termasuk tiga penjawat awam direman, kes tuntutan bekalan lembu

SEGAMAT, 10 SEPT: Lima individu termasuk tiga penjawat awam direman enam hari sehingga 15 September ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berkaitan bekalan lembu betina bernilai kira-kira RM400,000.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Rahimah Abd Majid selepas permohonan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Sesyen Segamat, pagi tadi.

Menurut sumber, kelima-lima suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu ditahan secara berasingan semalam ketika hadir memberikan keterangan di SPRM Segamat antara 11 pagi hingga 2 petang.

Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina kepada dua badan berkanun di Johor, sedangkan pembekalan tersebut tidak dilakukan.

"Kesemua suspek yang juga terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Febuari 2023,” menurut sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619