Penghuni rumah gempar ular sawa lebih 80kg jatuh dari siling

27 Ogos 2025, 8:49 AM
Penghuni rumah gempar ular sawa lebih 80kg jatuh dari siling

KUANTAN, 27 OGOS: Penghuni sebuah rumah di Kampung Kempadang di sini hari ini dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa seberat lebih 80 kilogram (kg) yang jatuh dari siling bilik kediaman itu.

Penghuni rumah, Mazlan Zakaria, 67, berkata pada mulanya dia terdengar bunyi runtuhan dan mendapati ia akibat siling di bilik anak perempuannya yang jatuh.

Seketika kemudian, pesara itu terdengar bunyi runtuhan kedua lalu pergi ke bilik berkenaan sebelum terlihat ular sawa dengan panjang dianggarkan 10 meter berada di atas katil bersama sisa runtuhan siling.

“Kebelakangan ini memang terdapat bunyi di atas bumbung, saya ingat tikus atau anak musang yang berlari pada waktu malam dan hari ini kami sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran ular yang sangat besar dari siling bumbung rumah.

“Kami segera buat panggilan 999 untuk minta bantuan sebelum pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang mengeluarkan ular berkenaan dari rumah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, anak perempuan Mazlan yang hanya ingin dikenali sebagai Wani, 20, berkata sekitar dua tahun lepas rumah berkenaan pernah ‘dikunjungi’ reptilia berkenaan.

“Ketika itu ular hanya berada di laman rumah tidak sempat masuk dan ditangkap tetapi hari ini seekor lagi berada di atas siling bilik mujur ketika kejadian saya sedang berada di luar bilik,” katanya.

Pegawai APM Daerah Kuantan Mejar (PA) Zahidi Zainudin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.53 pagi tadi sebelum 10 anggota dan dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Zahidi berkata operasi mengeluarkan ular sawa dari rumah berkenaan mengambil masa kira-kira 45 minit berikutan saiz reptilia itu yang besar dan panjang.

“Ular tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619