Perakam data, video pesawat Hornet terhempas diperoleh, siasatan masih berjalan

25 Ogos 2025, 8:41 AM
Perakam data, video pesawat Hornet terhempas diperoleh, siasatan masih berjalan

KUANTAN, 25 OGOS: Lembaga siasatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah memperoleh perakam data penerbangan dan perakam video pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terlibat dalam kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini, Khamis lalu.

Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata beberapa petunjuk awal juga dikenal pasti, namun pihaknya tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut sehingga siasatan selesai.

“Setakat ini siasatan masih berjalan dan saya tidak boleh memberikan sebarang maklumat sehingga siasatan selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas keadaan dua pegawai TUDM yang terlibat dalam kemalangan terbabit, beliau berkata juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dijangka dibenarkan pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak, selepas menjalani rawatan susulan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun jurusensor senjata pesawat, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, masih dalam pemerhatian doktor kerana mengalami kesakitan di bahagian perut.

Muhamad Norazlan berkata, tempoh rehat mereka akan ditentukan berdasarkan nasihat doktor.

Dalam insiden 9.05 malam Khamis, Mohamad Azhar dan Mohamad Izzuddin sempat melaksanakan prosedur kecemasan dengan selamat, iaitu keluar menggunakan kerusi lontar sebelum pesawat itu terhempas.

Insiden itu berlaku ketika pesawat berkenaan sedang melakukan rutin latihan penerbangan malam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619