APM Johor siap siaga 24 jam pantau situasi gempa Segamat

24 Ogos 2025, 7:46 AM
APM Johor siap siaga 24 jam pantau situasi gempa Segamat

JOHOR BAHRU, 24 OGOS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk memantau dan bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan, susulan gempa bumi melanda Segamat dan gegaran kedua di 28 kilometer (km) Barat Laut Kluang pagi tadi.

Pengarah APM Johor Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata walaupun tiada laporan kerosakan serius diterima setakat ini, pasukannya telah menggerakkan anggota bagi memantau situasi semasa di kawasan terlibat.

“APM bertugas 24 jam. Sekiranya berlaku bencana, anggota kami sedia digerakkan pada bila-bila masa. Kami sentiasa memantau perkembangan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata sebanyak tujuh anggota APM telah dikerahkan untuk pemantauan awal di lokasi terlibat mengikut syif, dengan tumpuan diberikan di Segamat.

Pihaknya juga, katanya sedang menilai laporan di lapangan termasuk di Surau Kampung Sanglang, Segamat yang dilaporkan mengalami sedikit kerosakan akibat gegaran bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan besar. Jadi kita akan teruskan pemantauan dan jika ada keperluan baru kita akan mobilisasikan anggota untuk bertugas,” katanya.

Kamal berkata APM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan lain dalam menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kejadian bencana seperti ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di 28 km Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619