Singapura anggap vape sebagai isu dadah, ambil tindakan tegas

18 Ogos 2025, 12:04 AM
Singapura anggap vape sebagai isu dadah, ambil tindakan tegas

SINGAPURA, 18 OGOS: Singapura akan menganggap penggunaan rokok elektronik atau vape sebagai isu dadah serta mengambil tindakan lebih tegas dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadapnya, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Wong, yang juga menteri kewangan berkata setiap generasi bimbang tentang pengaruh negatif yang menjejaskan golongan muda dan rokok elektronik telah muncul sebagai satu kebimbangan yang serius.

Beliau berkata kebanyakan vape bukan sekadar rokok elektronik, tetapi dicampur dengan bahan menyebabkan ketagihan dan berbahaya seperti etomidate, dan keadaan ini boleh menjadi lebih buruk pada masa masa hadapan.

“Setakat ini kita telah menganggap rokok elektronik seperti tembakau, paling berat kita kenakan denda, tetapi itu tidak lagi mencukupi.

“Kita akan menganggap ia sebagai isu dadah dan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat. Ini termasuk hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual rokok elektronik dengan bahan berbahaya,” katanya pada Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) yang diadakan di Ibu Pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE), di sini.

Beliau berkata bagi mereka yang ketagih kepada rokok elektronik, kerajaan akan menyediakan pengawasan dan pemulihan untuk membantu mereka berhenti.

Wong menambah kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan di seluruh negara dan melancarkan kempen pendidikan awam secara besar-besaran -- bermula di sekolah, institusi pengajian tinggi dan semasa perkhidmatan negara.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan akan menerajui usaha itu, namun ia merupakan satu gerakan menyeluruh seluruh kerajaan.

Sebelum ini diumumkan bahawa etomidate akan diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Sementara itu, Wong ketika berucap dalam Bahasa Melayu, berkata Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang diumumkan penubuhannya tahun lepas, akan mempunyai kampus tersendiri di Rochor.

Kampus itu akan terletak bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan pelajar SCIS boleh mengambil kursus sains sosial di SUSS sebagai sebahagian daripada pengajian mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa Taman Warisan Melayu yang akan dibuka semula tahun depan akan mempunyai galeri dan program baharu sebagai sebahagian inisiatif untuk melestari dan memupuk warisan Melayu Singapura.

NDR diadakan dalam tiga segmen iaitu Bahasa Melayu, Mandarin dan Bahasa Inggeris.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619