Undian ACL2: Selangor FC berpeluang ke pusingan kalah mati

15 Ogos 2025, 12:51 PM
Undian ACL2: Selangor FC berpeluang ke pusingan kalah mati
Undian ACL2: Selangor FC berpeluang ke pusingan kalah mati
Undian ACL2: Selangor FC berpeluang ke pusingan kalah mati

SELANGOR FC BERDEPAN JIRAN ASEAN DI ACL2

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC bakal berdepan cabaran daripada kelab-kelab jiran serantau selepas diundi dalam kumpulan yang terdiri sepenuhnya daripada pasukan Asia Tenggara bagi saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26.

Pada majlis undian yang berlangsung di sini hari ini, skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi itu diundi dalam Kumpulan G bersama wakil Thailand, Bangkok United, juara Liga Premier Singapura, Lion City Sailors, dan Persib Bandung (Indonesia).

Kesemua kelab dalam Kumpulan G berasal dari rantau ASEAN sekali gus menjanjikan persaingan seimbang memandangkan mereka sudah mengenali kekuatan serta corak permainan masing-masing.

Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin, berharap pasukannya mampu mara ke pusingan kalah mati sekali gus memperbaiki rekod terdahulu yang tersingkir seawal peringkat kumpulan.

“Kami tidak sabar untuk membuat penampilan kali kedua berturut-turut dan berharap kali ini penyertaan kami tidak terhenti di peringkat kumpulan. Sasaran kami adalah untuk mara ke pusingan 16 terbaik, di mana kami berpeluang bertemu kelab dari zon Barat,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian.

Sebagai rekod, Selangor FC turut bersaing di ACL2 musim lalu namun sekadar berpuas hati menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan H.

Berikut undian kumpulan ACL2 2025/2026:

Kumpulan A: Al Wasl (UAE), Esteghlal (Iran), Al Muharraq SC (Bahrain), Al Wehdat (Jordan).

Kumpulan B: Al Ahli SC (Qatar), PFC Andijon (Uzbekistan), FC Arkadag (Turkmenistan), Al Khaldiya (Bahrain).

Kumpulan C: Sepahan SC (Iran), Al Hussein (Jordan), Mohun Bagan Super Giant (India), Ahal FC (Turkmenistan).

Kumpulan D: Al Nassr (Arab Saudi), Al Zawraa SC (Iraq), FC Istiklol (Tajikistan), FC Goa (India).

Kumpulan E: Beijing FC (China), Macarthur FC (Australia), Tai Po FC (Hong Kong), Cong An Ha Noi (Vietnam).

Kumpulan F: Gamba Osaka (Jepun), Nam Dinh FC (Vietnam), Ratchaburi FC (Thailand) & Eastern FC (Hong Kong).

Kumpulan G: Bangkok United (Thailand), Selangor FC, Lion City Sailors FC (Singapura), Persib Bandung (Indonesia).

Kumpulan H: FC Pohang Steelers (Korea Selatan), BG Pathum United (Thailand), Kaya FC-Iloilo (Filipina), Tampines Rovers FC (Singapura).

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619