AGC putuskan adakan inkues berhubung kematian Zara Qairina

13 Ogos 2025, 7:08 AM
AGC putuskan adakan inkues berhubung kematian Zara Qairina

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina Mahathir.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung kes membabitkan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu pada 12 Ogos lepas.

Menurut AGC, prosiding inkues itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

“Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

AGC juga memaklumkan keputusan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593).

Pada 8 Ogos lepas, AGC memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

AGC berpendapat wujud keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Berikutan itu, jenazah remaja tersebut yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, Sabah digali semula pada 9 Ogos lepas dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula awal pagi Isnin di tanah perkuburan sama.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di hospital sama pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619