MYSA: Fenomena hujan meteor Perseids memuncak malam ini

12 Ogos 2025, 2:04 PM
MYSA: Fenomena hujan meteor Perseids memuncak malam ini

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Fenomena hujan meteor Perseids dijangka mencapai kemuncaknya lewat malam ini hingga awal pagi esok, dengan sehingga 100 meteor berpotensi kelihatan di langit dalam tempoh satu jam.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam hantaran di Facebook hari ini memaklumkan fenomena yang berlaku setiap tahun antara Julai hingga Ogos itu boleh disaksikan dengan mata kasar tanpa memerlukan teleskop jika pemerhati berada di kawasan gelap dan bebas daripada pencemaran cahaya.

“Namun bagi pemerhati di Malaysia, kenampakan mungkin tidak begitu jelas kerana kehadiran bulan dalam fasa sukuan akhir yang boleh menyebabkan langit menjadi lebih cerah dan mengurangkan bilangan meteor kelihatan,” menurut hantaran itu.

MYSA turut berkongsi beberapa langkah untuk mencerap fenomena itu, antaranya memilih lokasi terbuka yang gelap dan lapang, menyesuaikan mata dengan kegelapan selama 15 hingga 20 minit serta tidak hanya memfokuskan pandangan ke arah buruj Perseus kerana meteor boleh muncul dari pelbagai arah.

Dinamakan sempena buruj Perseus, fenomena hujan meteor Perseids berlaku apabila bumi melintasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus dianggarkan 26 kilometer dan mengambil masa 133 tahun untuk melengkapkan orbit mengelilingi matahari.

MYSA memaklumkan semasa komet berkenaan mengorbit menghampiri matahari, debu-debu yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet.

“Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar serta membentuk jalur bersinar yang panjang,” kata MYSA dan memaklumkan komet itu yang kali terakhir menghampiri bumi pada 1992 dan dijangka mendekati semula pada 2126.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619