Jabatan Peguam Negara: Mayat Zara Qairina perlu digali semula

8 Ogos 2025, 1:10 PM
Jabatan Peguam Negara: Mayat Zara Qairina perlu digali semula

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Mayat Zara Qairina Mahathir perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu berkenaan, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina.

"Jabatan ini berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

"Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah," menurut kenyataan itu.

Menurut AGC, langkah itu bertujuan memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian pelajar berkenaan.

Isnin lepas, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai lepas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619