Pembenihan awan: Paras Empangan Bukit Merah meningkat, namun masih kritikal

5 Ogos 2025, 6:14 AM
Pembenihan awan: Paras Empangan Bukit Merah meningkat, namun masih kritikal

IPOH, 5 OGOS: Paras bacaan air Empangan Bukit Merah mencatatkan peningkatan daripada 6.03 meter kepada 6.096 meter setakat pagi tadi, susulan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang menghasilkan hujan di beberapa kawasan terbabit semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak memaklumkan kapasiti simpanan empangan turut meningkat daripada 6.65 juta meter padu (12.2 peratus) kepada 7.25 juta meter padu (13.31 peratus).

“Bagaimanapun status semasa empangan masih di tahap aras henti bekalan pengairan seperti yang ditetapkan dalam Standard Operasi Prosedur (SOP) sedia ada.

"Peningkatan simpanan kolam empangan ini sedikit sebanyak membantu memanjangkan tempoh bekalan air bagi keperluan domestik, namun bekalan air bagi tujuan pengairan ke Rancangan Pengairan Kerian masih belum dapat dimulakan semula," menurut jabatan berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Semalam, OPA diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dilaksanakan di beberapa kawasan terjejas akibat cuaca panas termasuk di Empangan Bukit Merah yang mengalami penyusutan sejak Jun lepas.

Berikutan fenomena panas dan kering, empangan berkenaan telah mencapai aras henti bekalan pengairan pada 6.096 meter sejak 22 Julai lepas dan mengikut SOP pengendalian empangan, bekalan air ke sawah akan dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619