Guru, tiga murid tadika cedera bas langgar pokok di UPM

2 Ogos 2025, 1:18 PM
Guru, tiga murid tadika cedera bas langgar pokok di UPM

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Seorang guru dan tiga kanak-kanak sebuah tadika cedera selepas bas dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) Selangor.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.18 tengah hari tadi.

“Siasatan awal mendapati bas yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun berada di laluan lurus dan kemudian hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video rakaman kamera papan pemuka memaparkan kemalangan bas dinaiki lima guru dan 30 kanak-kanak itu turut tular di media sosial.

Muhamad Farid berkata tiga kanak-kanak dan guru pengiring yang mengalami kecederaan kepala menerima rawatan pesakit luar di Hospital Serdang.

Beliau berkata pemandu bas berkenaan ditahan dan permohonan reman akan dibuat esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-80742222 atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619