AGENDA

Malaysia suarakan isu penindasan rakyat Palestin di Geneva

28 Jul 2025, 9:56 AM
Malaysia suarakan isu penindasan rakyat Palestin di Geneva

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan mengulangi pendirian Malaysia terhadap penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin ketika menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen Sedunia Keenam, bermula hari ini hingga 31 Julai ini, di Palais des Nations, Geneva.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan Johari dijadual menyampaikan ucapan dalam sesi Debat Umum bertemakan “Dunia yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran untuk Semua” pada 29 Julai.

Menurut kenyataan itu, Johari akan mengangkat suara Malaysia dalam memperjuangkan sistem antarabangsa yang berteraskan undang-undang, prinsip keadilan serta institusi Parlimen yang bebas dan berdaya tahan.

“Beliau juga akan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan menyeru agar Parlimen dunia tidak terus membisu apabila prinsip asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa dilanggar,” menurut kenyataan itu.

Persidangan anjuran bersama Inter-Parliamentary Union (IPU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menghimpunkan lebih 110 Speaker Parlimen dari seluruh dunia.

Pada tahun ini, pemimpin legislatif dijangka berinteraksi secara langsung dengan ketua organisasi antarabangsa, tokoh akademik, masyarakat sivil dan pihak media, menjadikan forum itu sebagai wadah strategik bagi menyelaras tindakan kolektif ke arah keamanan, keadilan dan kemakmuran sejagat.

Dalam pada itu, Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA) dijadual mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin legislatif dunia termasuk wakil dari Republik Islam Iran untuk membincangkan usaha memperkukuh Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa demi menjamin keamanan dan keselamatan.

“Dialog antara parlimen ini adalah platform penting untuk membina saluran komunikasi terbuka ke arah penyelesaian damai berlandaskan Piagam PBB.

“Selaku Pengerusi AIPA, Parlimen Malaysia kekal konsisten dalam menyuarakan sokongan terhadap kedaulatan rakyat Palestin dan akan terus membawa suara rantau Asean di peringkat antarabangsa sebagai blok yang mendukung keamanan dan dialog dan penyelesaian secara damai berlandaskan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619